Mesej Utama 8
 
Saranan Utama 1

Hadkan pengambilan lemak tepu iaitu kurang daripada 10% jumlah pengambilan kalori harian.

Cara mencapai saranan
  1. Hadkan penggunaan minyak dan lemak seperti minyak kelapa, santan, minyak isirung sawit dan lelemak haiwan (minyak sapi atau mentega).
  2. Buang lemak pada daging atau ayam sebelum memasak.
  3. Buang kulit pada ayam sebelum memasak.
  4. Gunakan produk tenusu yang rendah lemak.

 

Saranan Utama 2

Tingkatkan pengambilan lemak tak tepu (asid lemak mono tak tepu, MUFA dan asid lemak poli tak tepu, PUFA).

Cara mencapai saranan
  1. Minyak sawit kaya dengan asid lemak mono tak tepu (MUFA), manakala minyak jagung, soya dan bunga matahari pula merupakan sumber yang baik untuk asid lemak poli tak tepu (PUFA). Gunakan minyak sayuran ini dalam masakan untuk meningkatkan pengambilan MUFA dan PUFA. Sebagai contoh, campuran minyak ini boleh dihasilkan dengan mencampurkan satu bahagian minyak kelapa sawit dengan satu bahagian minyak soya.
  2. Tingkatkan pengambilan kacang (seperti kacang tanah, gajus, badam dan pistacio), biji-bijian (seperti bijan dan kuaci) serta kekacang (seperti kacang kuda dan kacang soya).
  3. Tingkatkan pengambilan ikan segar seperti siakap, cencaru, selar kuning, bawal hitam, senangin, tongkol, kembung, tenggiri atau sardin. Ikan dalam tin seperti tuna dan sardin juga boleh diambil.

 

Saranan Utama 3

Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol.

Cara mencapai saranan
  1. Hadkan pengambilan organ dalaman (seperti otak, jantung, buah pinggang dan hati) serta telur ikan tidak lebih daripada dua kali sebulan.
  2. Buang kepala ikan bilis dan udang sebelum memasak.
  3. Makan telur secara sederhana, secara puratanya sebiji sehari (termasuk di dalam hidangan). Bagi individu yang mengalami hiperkolesterolemia, hadkan pengambilan telur kepada tiga biji seminggu.

 

Saranan Utama 4

Hadkan pengambilan makanan yang mengandungi asid lemak trans.

Cara mencapai saranan
  1. Hadkan pengambilan marjerin dan lemak sayuran yang diperbuat daripada lemak yang dihidrogenkan atau dipejalkan.
  2. Hadkan pengambilan makanan yang disediakan dengan minyak separa terhidrogenasi atau dipejalkan seperti kentang goreng, donat dan produk bakeri.
  3. Perhatikan perkataan “lemak atau minyak separa terhidrogenasi atau lemak dipejalkan?? pada label makanan yang diproses kerana ia mengandungi asid lemak trans.

 

Saranan Utama 5

Kurangkan penggunaan lemak semasa menyediakan makanan bagi memastikan pengambilan lemak harian ialah antara 20% hingga 30% daripada jumlah pengambilan tenaga.

Cara mencapai saranan
  1. Hadkan cara memasak menggunakan minyak yang banyak dan menyalut makanan dengan tepung.
  2. Ubah suai resipi yang menggunakan banyak minyak seperti sambal tumis, goreng berlada dan nasi minyak.

 

Saranan Utama 6

Apabila makan di luar, pilih makanan yang rendah lemak.

Cara mencapai saranan
  1. Pilih masakan yang menggunakan sedikit minyak, lemak dan santan.
  2. Kurangkan kekerapan memilih makanan yang tinggi lemak.
  3. Pilih sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai sebahagian daripada hidangan anda.
  4. Makan di tempat yang menyediakan pelbagai pilihan hidangan sihat.
  5. Apabila memesan hidangan, minta dikurangkan lemak dan minyak.