Mesej Utama 13
 
Saranan Utama 1

Pilih makanan dan minuman yang bersih serta selamat.

Cara mencapai saranan
  1. Pilih makanan mentah yang segar dan bersih.
  2. Beli makanan diproses yang dilabel dengan betul dan belum mencapai tarikh luput.
  3. Pilih produk bertin yang tidak karat, kemek atau menggelembung. Bagi makanan yang dibungkus, pastikan bungkusannya sempurna, tidak koyak atau bocor.
  4. Pilih makanan yang diproses untuk tujuan keselamatan misalnya susu yang dipasteur, suhu ultra tinggi (UHT) dan produk yang disteril.
  5. Apabila membeli-belah, beli makanan sejuk dan sejuk beku di akhir sekali dan pulang ke rumah secepat mungkin untuk mengelakkan makanan rosak. Gunakan kotak pendingin (cooler box) atau beg untuk mengangkut makanan.

 

Saranan Utama 2

Simpan makanan dengan betul.

Cara mencapai saranan
  1. Simpan makanan di tempat dan pada suhu yang betul. Pastikan tempat menyimpan bersih dan tersusun.
  2. Simpan makanan yang mudah rosak dengan segera apabila sampai di rumah. Susu, yogurt dan telur perlu disimpan di dalam peti sejuk, dengan suhu di bawah 5 C. Simpan daging, ayam dan makanan laut di bahagian sejuk beku (-18 C).
  3. Di dalam peti sejuk, asingkan makanan mentah (daging, ikan dan makanan laut) daripada makanan yang telah dimasak. Jangan simpan terlalu banyak makanan di dalam peti sejuk.
  4. Jangan simpan makanan yang terlalu panas dalam peti sejuk kerana ini boleh meningkatkan suhu peti sejuk.
  5. Simpan baki hidangan di dalam peti sejuk (suhu di bawah 5 C) selepas dua jam dimasak dan jangan simpan melebihi dua hari. Sejuk bekukan (-18?C) sekiranya mahu menyimpan lebih lama.
  6. Simpan makanan dalam bekas bertutup atau dibungkus dengan elok untuk mengelakkan makanan mentah tercampur dengan makanan yang telah dimasak.
  7. Simpan makanan jauh dari bahan kimia, racun serangga dan agen pembersih.

 

Saranan Utama 3

Sediakan makanan dengan bersih.

Cara mencapai saranan
  1. Amalkan kebersihan diri seperti mencuci tangan dan peralatan serta tempat memasak dengan sabun sebelum menyediakan makanan untuk mengelakkan keracunan makanan dan pencemaran silang.
  2. Elakkan mengendali makanan dengan tangan yang terluka, melecur atau tercedera kecuali telah dibalut dengan sempurna.
  3. Basuh makanan yang dimakan mentah dengan air yang selamat dan bersih.
  4. Guna peralatan seperti pisau dan papan pemotong yang berasingan untuk makanan mentah dan yang telah dimasak.
  5. Jangan menyahbekukan makanan sejuk beku pada suhu bilik tetapi lakukannya di dalam peti sejuk atau di bawah air mengalir.

 

Saranan Utama 4

Masak makanan dengan sempurna.

Cara mencapai saranan
  1. Masak makanan seperti daging, ayam, telur dan makanan laut dengan sempurna. Makanan seperti sup mestilah direbus sehingga mendidih. Pastikan jus ayam atau daging berwarna jernih dan bukan merah jambu.
  2. Panaskan makanan yang telah dimasak dengan sempurna.
  3. Air minuman hendaklah dimasak sehingga mendidih.

 

Saranan Utama 5

Simpan hidangan dengan betul.

Cara mencapai saranan
  1. Hidangkan makanan yang dimasak secepat mungkin dan gunakan pinggan mangkuk yang bersih. Sekiranya perlu menyimpan makanan, tutuplah makanan dengan sempurna dan jangan biarkan makanan yang dimasak melebihi empat jam pada suhu bilik.
  2. Hidangkan makanan panas dalam keadaan panas dan makanan sejuk dalam keadaan sejuk.
  3. Sekiranya perlu menyimpan makanan dalam keadaan panas, kekalkan pada suhu melebihi 60 C dan makanan sejuk disimpan di dalam peti sejuk di bawah suhu 5 C.

 

Saranan Utama 6

Pilih premis makanan yang bersih dan selamat apabila makan di luar.

Cara mencapai saranan
  1. Pilih premis yang terletak di kawasan yang bersih; jauh dari jalan raya, tempat pembuangan sampah, longkang yang tersumbat dan tangki najis atau tempat pembuangan sampah.
  2. Pilih premis yang teratur, bersih dan kemas dan mempunyai sumber air yang mengalir, sistem perparitan yang baik serta tong sampah yang bertutup. Pastikan tiada tanda-tanda kehadiran haiwan peliharaan, tikus, haiwan perosak dan serangga.
  3. Pilih premis yang menggunakan pinggan mangkuk, sudu, garpu dan perkakas dapur yang bersih dan berkeadaan baik.
  4. Pilih premis yang menghidangkan makanan dan minuman yang tidak terdedah.
  5. Pilih premis yang mana semua pekerjanya mengamalkan tabiat bersih dan kebersihan diri.